Wednesday, January 20, 2010

Alif..Ba..Ta..

bismillah

Assalamualaikum wbt,


Huruf-huruf apakah ini, murid-murid?


"Alif..baa..taa..", susunan huruf Arab itu dibaca satu demi satu sambil diperhati oleh guru. Ini adalah pengalaman biasa bagi insan yang mengajar Al-Quran di mana-mana tempat, sama ada di Kedah, Kelantan, Perak, Kuala Lumpur dan lain-lain. Tetapi, pengalaman yang dikutip pastinya berbeza antara satu dengan yang lain.

Seperti di Kuala Lumpur, pengalaman yang pernah dikutip sejak di bangku sekolah lagi, membantu kedua ibu bapa mengajarkan Al-Quran kepada penduduk sekitar kawasan perumahanku di kem tentera udara ini membantuku mengenali masyarakat sekitar. Gaya mereka, kelakuan, pergaulan, termasuklah lantunan lidah ketika membaca. Pulang dari Maghribi, masih kuteruskan lagi sesi pengajaran apabila keberadaanku di rumah.

Pengajaran ini merangkumi pelajar-pelajar dari sekolah tadika, sekolah rendah, dan sekolah menengah. Kaum dewasa diuruskan oleh kedua ibu bapaku. Semuanya datang atas kehendak sendiri, tiada sebarang iklan mahupun promosi ditampal merata.

Antara perkara paling dominan di kalangan anak-anak murid yang kuajar ialah sebutan, dan perkara ini biasa di semua tempat. Namun, antara yang menjadi masalah dalam sebutan huruf Al-Quran ialah apabila mereka menyebut huruf raa (ر).

Cuba anda baca huruf ini dengan sebutan Inggeris: "Corn ". Perkataan ini pula: "Roommate". Ini pula: "Rapid ".
Anda perasan bagaimana sebutan huruf "R" pada semua perkataan di atas? Bahasa mudahnya, sebutan "R" ikut lidah orang putih. Begitulah kanak-kanak di sekitar KL ini menyebut huruf raa.

Ada jiran baru di depan rumah. Baru berpindah dari Perak. Ini juga satu hal. Susah untuk sebut huruf raa. Sebutannya seperti huruf 'R' yang disebut oleh orang Perancis! Namun, saya pasti. Tidak semua masyarakat di Perak bertutur sebegitu. Kerana buktinya telah ada! Hihi.

Hakikatnya, liat juga untuk memulihkannya. Ambil masa. Ingin saja diketuk-ketuk lidah itu dengan tukul besi yang disulami cicahan air cili padi yang berbisa. Tapi, ia kejam sangat! Hihi. Cukuplah sekadar gulungan lidah yang ditambah dengan mainan memek muka yang mungkin boleh membantu mereka memperbaiki lantunan lidah dalam mangkuk mulut mereka dengan baik.


Lidah si kucing dan si lembu yang terjulur keluar
selepas penat mempraktikkan sebutan huruf dengan betul.
Siapa berani berguru dengan saya? Hehe. Gurau je.
(Sekadar gambar hiasan)


Sesi tarik-menarik untuk melenturkan otot lidah.
(Gurauan semata)


Terlebih tarik, sehingga terbelah dua!
(Gurauan semata).

Hingga kini, sesi pengajaran dan pembelajaran masih berlangsung di kediamanku, menanti saat untuk meneruskan perjuangan mencari titis-titis ilmu yang boleh ditadah. Doakan agar segala urusanku dipermudah Allah, inchallah.

Wassalam.

p/s: Teknik pengajaran bukanlah seperti di dalam gambar yang tertera di atas. Ia hanyalah helaian gambar yang diambil dari internet, untuk menambahkan kesan grafik pada artikel kali ini, tiada tujuan serius diselit. Jangan ambil serius ya! Hihi. Maaf andai terlebih, mohon dipinta kalau terkurang.
signature - kecik skit

Tuesday, January 19, 2010

Itu Usfur, Itu Murai

bismillah


Assalamualaikum wbt,

Iklan tentang sifat ihsan (berbuat baik) kini seringkali diudarakan di dada-dada media massa, tidak kiralah di televisyen, radio, laman sesawang, dan lain-lain. Apa rasionaliti kekerapan ini? Kerana masalah akhlak yang kian meruncing mungkin?

Di TV3, ada iklan yang bila disebut: "Tu burung apa nak? Burung apa? Burung apa?...", pasti telah sedia maklum oleh kebanyakan orang. Baru-baru ini, saya terjumpa sebuah video dalam bahasa-apa-entah, Turki mungkin. Tetapi ada disediakan terjemahannya dalam bahasa Arab. Mesejnya sama, tetapi ada tambahan di akhirnya.

Tambahan itu, pada saya, telah menambah lagi nilai modal yang terselit pada video tersebut. Saya terbayang, kalaulah ada selitan-selitan sebegitu di dalam mana-mana rancangan mahupun iklan media massa di Malaysia, pasti akan lebih indah!

Siapa tiru siapa? Malaysia ditiru atau Malaysia meniru? Saya tidak tahu. Yang penting, mesej yang dibawakan itu sama dan ada unsur-unsur dakwah (menyeru ke arah kebaikan) buat semua lapisan kaum, agama dan bangsa. Yang penting, tiada kompromi!!!

Saya sajikan di sini kedua-dua video terbabit untuk santapan kalian. Moga beroleh faedah.

Video dari Malaysia


Video Dari-Mana-Entah


Perbezaan: Teknik imbas kembali bagi versi Malaysia telah menggunakan prop (buku lama) dengan diselitkan lakonan bagi menghidupkan lagi penceritaan, manakala video dari-mana-entah pula hanya menggunakan prop (buku lama) bagi slot 'imbas kembali'. Jadi, mungkin akan menjadi sedikit sukar bagi sesiapa yang kurang memahami bahasa Arab dan bahasa pertuturan video ini.

Sekian perkongsian, wassalam.





signature - kecik skit

Sunday, January 17, 2010

Ilmu: Antara Teori Dan Aplikasi

bismillah


Assalamualaikum wbt,



:عن عثمان رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه و سلم قال
خيركم من تعلم القرآن وعلمه – رواه البخاري
Maksud: Uthman r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Sebaik-baik di kalangan kamu ialah yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya". (HR Bukhari).

Kalam Rasulullah s.a.w. di atas telah diungkapkan pada lebih kurang 1400 tahun yang lalu. Namun, keunggulan dan kesahihannya masih terbukti walau di dalam era moden kini.

Dikatakan 'keunggulan' kerana manfaat yang boleh diperoleh hasil pengaplikasian hadith tersebut. Dikatakan juga 'kesahihan' kerana kebenaran manfaat yang boleh didapati daripadanya.

Realiti pengaplikasian ilmu ialah apabila diperoleh kemudian disampaikan, maka kita akan menjadi semakin faham dan pakar dalam selok-belok ilmu tersebut. Apabila selalu berbicara tentang sesuatu ilmu, maka rahsia di sebaliknya akan terbongkar sedikit demi sedikit. Dari proses pembongkaran itulah kita mampu memecahkan belanganya agar percambahan idea dan fikrah dari ilmu tersebut berkembang. Secara tidak langsung, kita juga dapat mempelajari ilmu baru yang belum diketahui sebelum ini. Hal ini tertepatan dengan kata-kata golongan terdahulu:

عبد الواحد بن زيد قال : كان يقال : « من عمل بما علم ، فتح له علم ما لا يعلم » - معجم ابن المقرئ
Maksud: Abdul Wahid bnu Zayd telah berkata: pernah dikatakan bahawa: "Sesiapa yang mengamalkan (praktik) ilmunya, akan dibukakan baginya ilmu (pengetahuan)  yang belum pernah diketahuinya" – Mu'jam Ibn LMuqri`.




Sesungguhnya, pengaplikasian ilmu ialah kunci kepada manfaat. Manfaat yang lahir itu bukan hanya untuk diri sendiri, bahkan juga untuk masyarakat sekitarnya. Dari sinilah lahirnya suasana ilmiah, seterusnya membentuk satu kitaran ilmu yang sempurna.

Kalam Allah s.w.t. yang begitu masyhur dalam menerangkan tentang saranan berkongsi manfaat, kebaikan dan kebajikan mungkin telah sedia maklum buat kalian. Antaranya ialah:

وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على الإثم والعدوان واتقوا الله إن الله شديد العقاب
Maksud: "Dan saling bertolonganlah kalian dalam hal kebaikan dan taqwa, dan janganlah saling bertolongan dalam hal dosa dan permusuhan, dan bertaqwalah kalian kepada Allah, sesungguhnya azab Allah itu maha berat". (Al-Maidah: 2).

Dalam konteks ini, mengamalkan ilmu dalam diri itu satu kebaikan dan kebajikan. Manakala mengamal dan mengajarkannya kepada orang lain adalah menunjukkan perbuatan 'saling'. Maka, pengamalan hadith Nabi s.a.w. yang pertama tadi telah mengotakan kalam Allah s.w.t. di atas ini.

Tajuk ini sebenarnya boleh dikupas dengan panjang lebar, tetapi memadailah dengan menyentuh beberapa aspek agar gambaran umumnya dapat ditangkap oleh pembaca sekalian.

Semoga Allah menjadikan kita semua dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa mengamalkan ilmu dan menyampaikannya kepada sekalian manusia. Allahumma amine.

Wassalam.





signature - kecik skit